Post Page Advertisement [Top]

Industri pelancongan Terengganu disasarkan menjana pendapatan sebanyak RM2.5 bilion menerusi kunjungan kira-kira 5 juta pelancong tahun ini.

Sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, Terengganu mencapai sasaran kehadiran 4 juta pelancong dan menjana pendapatan sebanyak RM2 bilion.

Manakala tahun lalu pula, menerima kunjungan dianggarkan 4.5 juta pelancong domestik dan luar Negara ke Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata usaha kerajaan negeri mempromosi Terengganu sebagai destinasi pelancongan pilihan tidak terhenti setakat itu malah diteruskan dengan kesinambungan TMT 2016.

Katanya, pada masa sama, pelbagai program tahunan peringkat antarabangsa dianjurkan di lokasi menarik di negeri ini sebagai langkah menambat hati pelawat terutama pelancong luar negara.

“Antaranya, Terengganu International Press Tour of Terengganu yang akan diadakan selama seminggu dan berakhir 3 Mei depan dengan menghimpunkan kira-kira 200 pengamal media tempatan dan luar Negara.

“Mereka akan dibawa ke destinasi tersohor, selain memperkenalkan pelbagai produk Industri Kecil dan Sederhana,” katanya kepada teganukita.

Menurutnya, World International Islamic Festival (23 hingga 31 Ogos) pula bertujuan membuka peluang, memperkenalkan dialog, meningkatkan tahap kesedaran dan memberi lebih pemahaman di antara komuniti sesama Islam dan bukan Islam sejagat.

“Penganjuran program seumpama itu diyakini mampu mencapai sasaran 5 juta pelancong pada tahun ini, tambahan pula lokasi tersohor, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu akan dijenamakan semula sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

“Bagi tujuan itu, Majlis Pembangunan Tasik Kenyir (MPTK) akan ditubuhkan di bawah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah),”ujarnya.

Sumber: http://teganukita.my/sektor-pelancongan-terengganu-sasar-pendapatan-rm2-5-bilion/

No comments:

Post a Comment

Bottom Ad [Post Page]